Sesi mengopi TANPA beli kopi #645 (Tuan/puan boleh tanya sebarang soalan berkaitan industri kereta terus ke FB Messenger saya) SOALAN: selamat pgi tuan..ade tak tips2 sebelm beli kereta secondhand? dan mcm mane nk tau kereta tu free accident atau x? JAWAPAN: 5 tip pembelian kereta 1. KONDISI Ini adalah kata kunci yang paling penting. Maksudnya sangat penting sebab segalanya bermula dari sini. Itulah pentingnya bawa kenalan atau mekanik yang arif tentang kondisi kereta. Periksa bahagian badan terlebih dahulu. Jika kereta pernah kemalangan teruk, dibaiki macam mana pun tetap pengendaliannya ke laut. Perlu diingat, kereta-kereta begini sangat banyak di pasaran dan pembeli amatur adalah mangsa mudah. Kereta banjir pun satu masalah juga. Periksa bahagian tersembunyi yang sukar dilihat mata kasar seperti di bawah pelapik bonet belakang, sekeliling getah pintu dan bawah karpet lantai. Bahagian cantuman (joint section) seperti fender kepada kerangka, pillar kepada kerangka seharusnya perlu kemas catatan rivet, tiada kesan buka pasang dan warna cat mesti sekata. Mereka yang mahir mesti dapat membezakan cantuman yang dibuat di kilang berbanding kerja kimpalan mekanik bawah pokok. Itulah perbezaan kerja tangan manusia dengan tangan robot. Periksa bahagian mekanikal supaya semuanya berfungsi. Nampak remeh tetapi JANGAN sesekali abaikan. Melainkan anda seorang kaki DIY dan mampu baiki sendiri kerosakan kecil. Pastikan semua tingkap kuasa berfungsi, lampu, indikator penting pada paparan meter dan ABS. Tapi janganlah minta jurujual uji airbag pulak, nampak sangat kau tak reti. 2. PANDU UJI Ini langkah kedua yang penting. JANGAN sesekali beli kereta tanpa pandu uji sebab mata kita mungkin menipu. Sebelum pandu uji, hidupkan enjin kereta dan biarkan melahu 10 hingga 15 minit. Uji tahap kesejukan penghawa dingin, tengok radiator cukup sifat ke tidak, cuba telek bahagian bawah enjin kalau-kalau ada lelehan pelincir atau cecair kotak gear. Waktu enjin melahu dan masih sejuk, tekan brek dan cuba masukkan gear “R” dan “D” untuk kereta automatik. Bagi kereta manual, masukkan kesemua gear dan pastikan gear ini terkunci sewaktu tuil dimasukkan. Kereta yang bermasalah kotak gear biasanya dia buat bodoh saja kalau anda masukkan gear waktu enjin sejuk. Bila dah panas baru gear terkunci. Ini petanda masalah besar, jangan maki jurujual tersebut. Pergi cari kereta lain lah. Jika semuanya okay-okay saja, sila lihat indikator suhu dan pastikan kipas radiator berpusing baru mulakan perjalanan. Ketika memandu, teliti bunyi-bunyi pelik terutamanya pada bahagian transmisi. Selain itu, dengar bunyi yang mungkin kedengaran seperti rak stereng yang haus, absorber yang dah hampir meninggal dunia dan seretan brek. Ini adalah benda-benda pakai lusuh, cuba bincang dengan jurujual kalau boleh diganti baru atau dibaiki. 3. UTAMAKAN KERETA DENGAN REKOD SERVIS Waktu dibeli baru, setiap kereta dibekalkan dengan buku rekod yang ditandakan oleh pusat servis setiap kali kereta diselenggara. Perlu diingatkan kebanyakan kereta baru hari ini disertakan dengan servis penyelenggaraan percuma. Jadi, setiap rekod servis ini akan dicatat. Apa yang telah diganti dan tahap mana perbatuan perjalanannya direkodkan. Tak mengapa kalau tiada rekod servis sebab sesetengah pemilik mungkin lebih arif dengan kepakaran mekanik luar. Pemilik yang bagus akan menyimpan bukti resit servis dan setiap pembaikan yang telah dibuat. 4. PERIKSA DOKUMEN Ini lah ramai yang abaikan. Minta jurujual tunjukkan geran asli. Pastikan setiap perincian dalam spesifikasi adalah tepat tanpa pindaan. Cuba lihat bahagian kolum nombor enjin dan casis dan pastikan ianya sama dengan kereta yang hendak anda beli. Di bawah kolum spesifikasi ada kolum kecil yang biasanya ditulis dengan “hakmilik dituntut oleh bank cekik darah bla bla bla”, pastikan ia telah dicop sebagai “DIBATALKAN” oleh pihak JPJ. Selain itu, pastikan tiada SEKATAN. Sesetengah kereta mempunyai batasan tukaran milik seperti kereta import bukan AP terbuka khususnya kereta yang diimport masuk secara persendirian oleh pelajar/pekerja luar negara yang tak boleh dipindah milik dalam masa 24 bulan dari tarikh didaftarkan. Ada sesetengah kereta yang diberi perlepasan tertentu oleh JPJ dan ia tertakluk di bawah sekatan tadi. Kereta-kereta ini biasanya tidak boleh dipindah milik langsung. 5. SEBUT HARGA BERTULIS Minta sebut harga RASMI dan BERTULIS sebelum membayar sebarang wang tempahan. Ini penting ketika anda berurusan dengan kedai used car. Pastikan ia disahkan oleh peniaga tersebut dan bukannya setakat level jurujual. Salesmen kereta bukan semuanya kerja tetap di satu-satu tempat. Mereka mungkin broker yang menjadi orang tengah membawa anda sebagai pembeli. Pastikan sebut harga tersebut ditulis jelas tentang setiap item. Misalnya, harga kereta, yuran pemprosesan, insuran, cukai jalan, kos tukar nama, pemeriksaan puspakom, sewa cermin (jika ada) dan upah runner. Dapatkan harga terakhir setelah semuanya dikira. Harga ON THE ROAD adalah penentu kereta itu berbaloi dibeli atau sebaliknya. Eddie Soh EH Motor (ditubuh 1985) Blacklist, CCRIS, Full loan untuk beli kereta #EHMotor #Sesimengopitanpabelikopi |
0 Comments
Leave a Reply. |
Author33 tahun dalam perniagaan jual beli kereta terpakai. Objektif blog ialah memberi ilmu tentang industri kereta di Malaysia kepada orang ramai. Archives
May 2020
Categories |